DAKWAAN 6000 PENSYARAH DIBERHENTIKAN TIDAK BENAR- KPT


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menolak kenyataan jumlah pensyarah yang tamat kontrak, bersara atau diberhentikan sejak 2012, hanyalah kira-kira 2,000 orang dan bukannya 6,000 seperti didakwa Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Dalam kenyataan oleh pihak KPT jumlah itu tidak tertumpu kepada yang diberhentikan atas sebab tertentu sahaja, sebaliknya merangkumi bilangan pensyarah yang pencen dan yang tidak disambung kontrak.

Katanya, angka berkenaan tidak mengambil kira kemasukan pensyarah baharu sambil menegaskan ketika ini, ada lebih 32,000 pensyarah di universiti awam (UA) di seluruh negara.

"Universiti mempunyai autonomi untuk melantik semula pensyarah yang pencen. KPT percaya universiti akan terus melantik pensyarah yang pencen secara kontrak bagi memenuhi keperluan.

"Universiti juga mempunyai pelan penggantian masing-masing bagi membolehkan pensyarah muda mengambil alih jawatan yang dikosongkan.

"KPT ingin menjelaskan cadangan MAAC yang dibangkitkan pada September 2016, sudah dikemukakan kepada agensi pusat untuk dipertimbangkan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas dakwaan MAAC, yang mendakwa hampir 6,000 pensyarah termasuk bertaraf profesor, berhenti dan ditamatkan kontrak akibat kekangan kewangan sejak tahun lalu.

Mengulas lanjut, KPT berkata, pada 2012 pula, semua pensyarah universiti diberikan kenaikan gaji oleh kerajaan, selaras Pekeliling Kerajaan Bil 1 Tahun 2012, mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).

"Pensyarah turut dibenar menjalankan kerja perundingan, menubuhkan dan menguruskan syarikat sendiri, selain mendapatkan perkongsian royalti hasil pengkomersailan penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah dan sebagainya. Ia sebagai satu sumber pendapatan tambahan bagi pensyarah.

"Selain itu, pensyarah universiti yang memiliki ijazah kedoktoran (PhD) akan terus dilantik ke gred DS51, tidak kira umur mereka, selain universiti diberikan autonomi menentukan kriteria kenaikan pangkat dan pengurusan sumber masing-masing," katanya.

KPT menjelaskan, isu kebajikan pensyarah dipandang serius sejak 1 September 2010, apabila Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti (SPPU) ditambah baik.

 "SPPU adalah satu-satunya skim perkhidmatan awam (SPA) di negara ini yang berlandaskan merit iaitu kenaikan pangkat tidak perlu mengisi kekosongan.

"Disebabkan berdasar kepada merit, kenaikan pangkat juga boleh dilakukan secara berganda dengan pelangkauan gred di tengah.

"Pada 2015, KPT dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) memperkasakan bakat dalam kalangan pensyarah menerusi inisiatif laluan kerjaya 4-trek.

"Ia merangkumi trek pengajaran, penyelidikan, kepemimpinan dan profesional industri, kriteria kenaikan pangkat menjadi fleksibel serta dinamik, selain pensyarah dapat memfokuskan pembangunan kerjaya mereka mengikut trek dipilih," katanya







Comments

Popular posts from this blog

SITI AISHAH: TAHANAN SOSMA YANG MEMILIKI BAHAN PENYELIDIKAN UNTUK PENGAJIANNYA

KUDA MAHATHIR MAKAN LOBAK SEBAB HARGANYA MURAH??

RINGKASAN PEMBENTANGAN BAJET TERENGGANU 2017 #BajetTerengganu2017